Semua Soalan Akikah: 28+ Jawapan FAQ Akikah Diringkaskan EZ Qurban

Ini merupakan kompilasi soalan akikah yang pernah ditanyakan oleh para pembaca blog kami.

Semoga hantaran ini membantu anda menjawab persoalan yang anda ada tentang ibadah akikah.

  1. Apa itu akikah?

UMUM

Akikah ialah ibadah sembelihan haiwan ternakan yang disembelih pada hari ke-7 kelahiran bayi.

DALIL

Daripada Samurah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الْغُلاَمُ مُرْتَهَنٌ بِعَقِيقَتِهِ يُذْبَحُ عَنْهُ يَوْمَ السَّابِعِ وَيُسَمَّى وَيُحْلَقُ رَأْسُهُ

Maksudnya: “Bayi itu tertebus dengan akikahnya. Disembelih akikah pada hari ke-7 kelahirannya, diberikan nama dan dicukur rambutnya” 

(Hadis Riwayat At-Tirmidzi – No. hadis 1522).

Syeikh Muhammad Arsyad Al-Banjari berkata:

“Jika tidak disembelih akikah pada hari yang ketujuh, maka hendaklah disembelih pada hari yang ke-14. Jika tidak disembelih pada hari yang keempat belas maka hendaklah disembelih pada hari yang ke-21”

(Sabil Al-Muhtadin, MS 233 : Edisi Jawi / MS 71 : Edisi Rumi)

  1. Apa hukum melaksanakan akikah?

UMUM

Hukum melaksanakan ibadah akikah ialah SUNNAH MU’AKKADAH (sunat yang sangat dituntut melakukannya).

DALIL

Hal ini berdasarkan pendapat yang kuat dalam mazhab As-Syafie iaitu hukum melaksanakan akikah ialah Sunnah Mu’akkadah (sunat yang sangat dituntut) (Al-Fiqh Al-Manhaji ‘ala Mazhab Al-Imam Asy-Syafie, Jilid 1 / MS 487)

  1. Kenapa perlu melaksanakan akikah?

UMUM

Kerana ibadah akikah merupakan suatu tanggungjawab ibu bapa untuk menunaikan hak terhadap anak yang dilahirkannya.

DALIL

Daripada Samurah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الْغُلاَمُ مُرْتَهَنٌ بِعَقِيقَتِهِ يُذْبَحُ عَنْهُ يَوْمَ السَّابِعِ وَيُسَمَّى وَيُحْلَقُ رَأْسُهُ

Maksudnya: “Bayi itu tertebus dengan akikahnya. Disembelih akikah pada hari ke-7 kelahirannya, diberikan nama dan dicukur rambutnya”

(Hadis Riwayat At-Tirmidzi – No. hadis 1522)

  1. Adakah akikah amalan tradisi dan adat resam melayu?

UMUM

Tidak. Akikah bukanlah amalan tradisi atau adat resam orang melayu, bahkan ia merupakan ibadah dan sunnah Nabi SAW, malah baginda sendiri melaksanakannya ke atas cucundanya iaitu Hassan & Husain R.Anhuma.

DALIL

Berkata Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhu:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم عَقَّ عَنْ الْحَسَنِ وَالْحُسَيْنِ ُ كَبْشًا كَبْشًا

Maksudnya: “Bahawasanya Rasulullah SAW mengakikahkannya untuk cucunya Hassan dan Hussain dengan seekor kambing (kibash) seekor setiap seorang”

(Hadis Riwayat Abi Daud – No. hadis 2841)

  1. Apakah hikmah & kelebihan akikah?

UMUM

  •    Menghindari anak dari terkena penyakit
  •    Menghindari anak dari gangguan syaitan
  •    Membantu menyokong tumbesaran dan minda anak
  •   Mendapat pahala menghidupkan sunnah Nabi Muhammad SAW
  1. Siapakah yang bertanggungjawab laksanakan akikah?

UMUM

Ibadah akikah adalah tanggungjawab wali (Ibu bapa/penjaga) anak tersebut. Jika sekiranya ibu bapa telah meninggal dunia (sebelum sempat mengakikahkan anaknya), maka datuk, bapa saudara atau penjaga anak tersebut bertanggungjawab untuk melaksanakannya.

IBU BAPA

Daripada Samurah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الْغُلاَمُ مُرْتَهَنٌ بِعَقِيقَتِهِ يُذْبَحُ عَنْهُ يَوْمَ السَّابِعِ وَيُسَمَّى وَيُحْلَقُ رَأْسُهُ

Maksudnya: “Bayi itu tertebus dengan akikahnya. Disembelih akikah pada hari ke-7 kelahirannya, diberikan nama dan dicukur rambutnya” 

(Hadis Riwayat At-Tirmidzi – No. hadis 1522)

DATUK

Berkata Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhu:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم عَقَّ عَنْ الْحَسَنِ وَالْحُسَيْنِ ُ كَبْشًا كَبْشًا

Maksudnya: “Bahawasanya Rasulullah SAW mengakikahkan untuk cucunya Hassan dan Hussain dengan seekor kambing (kibash) seekor setiap seorang”

(Hadis Riwayat Abi Daud – No. hadis 2841)

PENJAGA

Syeikh Muhammad Arsyad Al-Banjari berkata:

“Orang yang disunatkan mengerjakan akikah kanak-kanak ialah orang yang wajib menafkahkannya iaitu penjaganya mengikut kemampuannya”.

(Sabil Al-Muhtadin, MS 233 : Edisi Jawi)

  1. Bolehkah laksanakan akikah untuk diri sendiri setelah dewasa?

UMUM

Boleh, malah sunat hukumnya bagi seseorang dewasa yang belum diakikahkan, maka dia boleh melaksanakan akikah untuk dirinya sendiri.

DALIL

Imam Ahmad, Al-Bazzar dan At-Tabarani telah meriwayatkan tentang hadis Nabi SAW melakukan akikah untuk dirinya setelah dilantik menjadi Rasul, berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Al-Baihaqi:

 أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَقَّ عَنْ نَفْسِهِ بَعْدَ النُّبُوَّةُ

Maksudnya: “Bahawasanya Nabi SAW melakukan akikah untuk dirinya sendiri setelah dilantik menjadi Nabi”

(Sabil Al-Muhtadin, MS 233 : Edisi Jawi)

Syeikh Muhammad Arsyad Al-Banjari berkata: 

“Sunat mengerjakan akikah untuk dirinya (setelah dewasa) kerana memperolehi semula barang yang luput (kemampuan)”. Hal ini berdasarkan pandangan Al-Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani dalam Tuhfah Al-Muhtaj.

(Sabil Al-Muhtadin, MS 233 : Edisi Jawi) ”

Dipetik daripada Al-Kafi li Al-Fatawa, menyatakan bahawa: 

“Sunat hukumnya untuk seseorang yang dewasa yang belum diakikahkan untuk mengakikahkan dirinya sendiri sebagai tanda syukur kepada Allah atas nikmat kehidupan yang diberikan-Nya”

  1. Bolehkah orang lain (selain yang patut bertanggungjawab) laksanakan akikah si anak?

UMUM

Jika sekiranya ibu bapa / penjaga kepada anak tersebut kurang berkemampuan atau tidak mampu untuk melakukannya atas sebab-sebab tertentu, maka pihak lain boleh mengakikahkan anaknya, tetapi ia mestilah mendapat keizinan daripada ibu bapanya.

DALIL

Tiada dalil yang melarang untuk melakukan demikian. Bahkan hal ini dikiaskan kepada hadis tentang perbuatan Nabi SAW yang mengakikahkan dua orang cucunya iaitu Sayyidina Hassan dan Hussain Radhiallahu ‘anhuma.

Berkata Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhu:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم عَقَّ عَنْ الْحَسَنِ وَالْحُسَيْنِ ُ كَبْشًا كَبْشًا

Maksudnya: “Bahawasanya Rasulullah SAW mengakikahkan untuk cucunya Hassan dan Hussain dengan seekor kambing (kibash) seekor setiap seorang”

(Hadis Riwayat Abi Daud – No. hadis 2841)

  1.  Bolehkah/sahkah laksanakan akikah untuk peserta berikut?

UMUM

Boleh, kerana nama bukanlah syarat sah sembelihan akikah, ia adalah tertakluk kepada niat sahaja.

Meletakkan nama ketika mendaftar akikah itu hanya urusan dokumentasi, ia tidak menjejaskan niat untuk melaksanakan akikah tersebut.

  1. Kenapa tak sebut nama peserta ketika menyembelih?

UMUM

Memadai niat akikah / korban dari pihak peserta sahaja, kerana menyebut nama ketika sembelih bukanlah syarat sah sembelihan tersebut.

DALIL

Penyembelih tidak wajib menyebut nama ketika menyembelih. Hal ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Dr Wahbah al-Zuhaili di dalam kitabnya:

وَلَيْسَ عَلَى الوَكِيلِ أَنْ يَقُولَ عِنْدَ الذَبْحِ عَمَّنْ؛ لِأًّنَ النِّيَّةَ تُجْزِئَ

Maksudnya: “Mereka yang menjadi wakil dalam sembelihan tidak wajib menyebut nama pemilik korban ketika sembelihan berlaku. Kerana memadai dengan niat daripada pemilik korban”

(Rujuk: al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 4/2737)

Begitu juga, fatwa Al-Imam al-Nawawi di dalam karyanya:

وَلَوْ وَكَّلَهُ وَنَوَى عِنْدَ ذَبْحِ الْوَكِيلِ كَفَى ذَلِكَ وَلَا حَاجَةَ إلَى نِيَّةِ الْوَكِيلِ بَلْ لَوْ لَمْ يَعْلَمْ الْوَكِيلُ أَنَّهُ مُضَحٍّ لَمْ يَضُرَّ

Maksudnya: “Jika dia mewakilkan dan dia niat ketika berlaku sembelihan, maka sudah memadai niat itu. Tidak perlu kepada niat wakil sekalipun wakil itu tidak tahu bahawa dia adalah orang yang berkorban, ini tidak memudaratkan(hukum tetap sah)”

(Rujuk: al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 8/406)

  1. Bolehkah laksanakan akikah untuk orang yang telah meninggal dunia?

SUNNAH MUAKKADAH

Boleh, malah sunat hukumnya melaksanakan akikah ke atas bayi / seseorang yang telah meninggal dunia, jika ia belum sempat diakikahkan semasa hayatnya.

SUNAT (Selepas Lahir)

Fatwa Mufti Wilayah menyatakan bahawa: “Jika seorang anak itu lahir kemudian meninggal dunia sebelum sempat hari ke-7 kelahirannya, maka disunatkan untuk dilaksanakan ibadah akikah ke atasnya sepertimana disunatkan ke atas orang yang hidup. Ini merupakan pendapat yang dipegang dalam mazhab As-Syafie” 

SUNAT (Sebelum Lahir)

“Jika janin gugur setelah tempoh empat bulan atau lebih, maka disunatkan akikah ke atasnya” (AL-KAFI #1570)

HARUS (Sebelum cukup 4 bulan usia kandungan)

“Jika janin gugur sebelum cukup tempoh empat bulan, maka tidak disunatkan akikah ke atasnya, kerana ia diibaratkan sebagai objek”

  1. Adakah akikah lelaki perlu serentak penyembelihan 2 ekor kambing atau boleh dilakukan 2 kali secara berasingan?

Akikah untuk anak lelaki disunatkan 2 ekor kambing, tetapi tidak disyaratkan untuk menyembelih kedua-duanya secara serentak. Boleh saja ia dilakukan secara berasingan masa atau tempat.

  1. Saya dan suami belum akikah tetapi bolehkah kami ingin akikahkan anak kami?

Tidak menjadi syarat sah bagi ibadah akikah itu mesti didahului dengan akikahnya si ibu dan ayah. Maka, lakukan saja ibadah akikah untuk bayi tersebut, meskipun ibu dan ayahnya belum pernah diakikahkan.

  1. Adakah akikah masih menjadi sunat muakkad kepada ibu bapa yang sebelum ini tidak mampu untuk melaksanakannya setelah mereka mampu?

Jika ibu bapa tidak mampu untuk melaksanakan ibadah akikah untuk anaknya, maka gugurlah hukum tersebut iaitu ibu bapa tidak lagi disunatkan kepadanya dan tidak berdosa kerana tidak dapat melakukannya. Dan apabila anak itu sudah dewasa dan mempunyai pendapatan sendiri, maka dia boleh saja lakukan akikah untuk diri sendiri.

  1. Bolehkah dalam majlis akikah, non-muslim makan daging akikah tersebut?

Wa’alaikumussalam Ariff, Daging akikah (akikah sunat saja) boleh dijamu kepada orang bukan islam, namun ia tidak digalakkan jika lebih ramai komuniti islam di kawasan tersebut. Manakala akikah wajib (seperti akikah nazar) tidak boleh (haram) diberikan atau dijamu kepada bukan islam.

Jalan terbaik adalah, tuan rumah perlu sediakan hidangan lain selain daripada menu daging akikah tersebut.

  1. Bolehkah daging akikah dijamu kepada orang bukan Islam?

Daging akikah (akikah sunat saja) boleh dijamu kepada orang bukan islam, namun ia tidak digalakkan jika lebih ramai komuniti islam di kawasan tersebut. Manakala akikah wajib (seperti akikah nazar) tidak boleh (haram) diberikan kepada bukan islam.

  1. Apakah had umur untuk melaksanakan akikah? Sekiranya umur anak belasan tahun, adakah masih boleh?

Wa’alaikumussalam Razif, ibadah akikah memadai dilakukan seumur hidup sekali. Sunat dilakukan pada hari ke-7, 14 atau 21 hari kelahiran anak. Namun, sekiranya sudah melepasi hari-hari tersebut, masih boleh melakukannya dan tiada dihadkan umur meskipun sudah dewasa, seperti mana yang dinyatakan oleh Syeikh Arshad Al-Banjari dalam kitab Sabil Al-Muhtadin.

  1. Adakah boleh laksanakan akikah 2 bahagian lembu dan 1 bahagian lembu dalam satu ekor lembu yang sama?

Ya..boleh dilaksanakan akikah 2 bahagian lembu untuk anak lelaki dan 1 bahagian lembu untuk anak perempuan dalam 1 ekor lembu yang sama.

  1. Adakah anak lelaki akikahnya 2 bahagian lembu?

Boleh diakikahkan untuk anak lelaki dengan 2 bahagian lembu sepertimana yang dinisbahkan kepada 2 ekor kambing (mengikut hukum yang asal). Tetapi, ia bukanlah syarat kesempurnaan akikah, justeru memadai juga akikah dengan 1 bahagian lembu sahaja, mengikut kemampuan masing-masing.

  1. Adakah golongan B40 memadai untuk akikah 1 bahagian lembu?

Ye…memadai 1 bahagian lembu sahaja, bergantung atas kemampuan ibubapa tersebut. Tidak semestinya B40 atau bekerja gov. Adakalanya B40 juga mampu lebih dari 1 bahagian atau 1 ekor kambing, jika mereka mempunyai simpanan atau tabungan khas untuk laksanakan akikah.

  1. Adakah kalau saya terlupa akikah diri sendiri sudah dilaksanakan atau belum, saya perlu buat lagi sekali akikah?

Boleh, tiada halangan untuk kita mengulangi pelaksanaan ibadah akikah tersebut, malah ia menambah pahala yang berlipat ganda.

  1. Adakah anak yang sudah mencapai umur 16 tahun masih boleh diakikahkan?

Ibu bapa masih boleh lakukan akikah untuk anaknya meskipun anak telah meningkat dewasa. Tetapi jika anak sudah bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri, maka dia juga boleh lakukan akikah untuk diri sendiri.

  1. Adakah boleh laksanakan akikah semasa majlis walimatul urus?

Boleh, tiada masalah jika dilakukan akikah bersama dengan majlis walimatul urus. Daging-daging akikah juga harus dijadikan juadah pada majlis walimah tersebut.

  1. Adakah anak di luar pernikahan tidak boleh diakikahkan?

Tiada dalil khas yang melarang untuk melakukan akikah ke atas anak luar nikah, bahkan anak tersebut juga mempunyai hak untuk diakikahkan oleh penjaganya.

  1. 2 ekor kambing untuk anak lelaki tetapi setiap seekor dibayar pihak lain. Adakah dibenarkan kongsi bayaran akikah?

Boleh dan tiada masalah. Sesiapa saja boleh menaja atau membuat pembayaran korban mahupun akikah untuk orang lain.

  1. Bolehkan saya buat akikah selepas berkahwin memandangkan semasa kecil tiada kemampuan untuk buat dan berapa umur untuk buat akikah?

Ibadah akikah boleh dilakukan setelah dewasa, jika ibubapa tidak berkesempatan melakukannya sewaktu kecil.

  1. Betulkah selepas umur baligh ataupun meningkat dewasa ini dikategorikan korban dan bukan akikah?

Ibadah akikah dan Ibadah Qurban adalah 2 jenis ibadah yang berbeza dan tiada kaitan antara satu sama lain. Ibadah akikah memadai dilakukan seumur hidup sekali sahaja, samada sewaktu kecil ataupun setelah dewasa. Manakala ibadah Qurban dituntut untuk melakukannya pada setiap tahun (menjelang hari raya Aidiladha).

  1. Bagaimanakah ingin mengagihkan daging kambing sekiranya saya mampu untuk akikah seekor dahulu?

Memadai 1 ekor kambing akikah untuk anak lelaki bergantung kepada kemampuan masing-masing. Jika ada kemampuan pada masa akan datang, boleh ditambah lagi 1 ekor kambing akikah pada bila-bila masa.

  1. Adakah saya boleh membantu ibu tunggal untuk melaksanakan akikah?

Ibadah akikah itu merupakan tanggungjawab ibu bapa ke atas anak-anak mereka. Tetapi boleh saja jika sekiranya ada pihak lain yang ingin menaja atau membantu untuk akikahkan bagi pihak lain, dalam masa yang sama penaja juga mendapat pahala dan anak tersebut dapat manfaat dari akikahnya.

  1. Difahamkan untuk akikah, 1 ekor kambing bersamaan 1 bahagian lembu. akikah utk anak lelaki blh dibuat dengan 2 ekor kambing atau 2 bahagian lembu. Tetapi jika ingin akikah untuk anak lelaki, bolehkah dibuat dengan 1 ekor kambing dan 1 bahagian lembu?

Boleh akikahkan anak lelaki 1 ekor kambing dan ditambah pula dengan 1 bahagian lembu akikah.

  1. Adakah sah kalau masa akad dgn penyembelih tu buat utk anak lelaki. Tapi sebenarnya untuk anak perempuan. Salah faham dgn wakil di tempat penyembelihan.

Sembelihan itu menjadi sah atau tidak adalah bergantung kepada apa yang telah diniatkan (dalam hati) oleh peserta akikah. Dan jika tanpa lafaz akad sekalipun, sembelihan itu tetap sah. Kerana akad yang dilafazkan itu hanyalah untuk mengesahkan transaksi yang dibuat, penyerahan wakil tukang sembelih. Kesilapan menyebut nama, atau jantina itu lebih kepada masalah teknikal saja, dan ia tidak menjejaskan ibadah tersebut.

(akan dikemaskini dari semasa ke semasa)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

ARTIKEL BERKAITAN