Keistimewaan Awal Muharram: Puasa Asyura dan Ibadah Lain

Fadhilat 10 Hari Awal Muharram

Untuk menelusuri bulan pertama dan Awal Muharram dalam kalendar hijrah ini, kami telah merujuk kepada laman web rasmi Mufti Wilayah Persekutuan.

Semoga apa yang dikongsi ini memberikan manfaat kepada anda.

Awal Muharram

Hari Yang Dicari Fadilatnya

Jika anda ingin tahu, Ibn Abbas R.Anhuma pernah melihat bahawa Rasulullah SAW memang mengejar fadilat hari Asyura berbanding hari-hari yang lain.

Hari Asyura merupakan hari kesepuluh pada bulan Muharram. 

Kata Ibn Abbas R.Anhuma apabila ditanyakan mengenai puasa Asyura, beliau berkata :

مَا رَأَيْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم يَتَحَرَّى صِيَامَ يَوْمٍ فَضَّلَهُ عَلَى غَيْرِهِ، إِلاَّ هَذَا الْيَوْمَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ 

Maksudnya : Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW mengejar satu hari yang fadhilatnya lebih berbanding hari hari yang lain melainkan hari ini – iaitu hari ‘Asyura –

Riwayat al-Bukhari (2006)

Kata al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani Rahimahullah: 

Ini menunjukkan bahawa puasa ‘Asyura lebih afdal berbanding hari hari lain untuk berpuasa selepas Ramadhan. Zahir hadis Muslim pula menunjukkan bahawa puasa pada hari ‘Arafah lebih afdal berbanding puasa pada hari ‘Asyura. 

Dikatakan hikmahnya adalah kerana puasa ‘Asyura dinisbahkan kepada Musa AS manakala puasa ‘Arafah pula dinisbahkan kepada Nabi Muhammad SAW. Oleh yang demikian, puasa ‘Arafah lebih afdal. [Fath Al-Bari. Dar Al-Salam, 4/315]

Awal Muharram

Daripada riwayat ini, al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani Rahimahullah telah menyimpulkan:

  1. Puasa Asyura lebih afdal berbanding hari-hari lain untuk berpuasa selepas Ramadan. 
  2. Tetapi harus diingat zahir hadis Muslim menyatakan puasa pada hari Arafah adalah lebih afdal berbanding pada hari Asyura. 
  3. Ini kerana puasa Asyura dinisbahkan kepada Nabi Musa manakala puasa Arafah adalah kepada Nabi Muhammad SAW.
  4. Oleh sebab itu, puasa Arafah adalah lebih afdal.
Awal Muharram

Firaun dan Pengikutnya Ditenggelamkan Manakala Nabi Musa Diselamatkan

Kisah Nabi Musa AS yang terkenal dan terpahat di dalam surah Yunus ayat 90, Firaun dan pengikutnya ditenggelamkan tetapi Nabi Musa diselamatkan ini terjadi pada bulan awal Muharram.

Di dalam al-Sahihain dari Ibn Abbas R.Anhuma beliau berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم لَمَّا قَدِمَ الْمَدِينَةَ وَجَدَهُمْ يَصُومُونَ يَوْمًا، يَعْنِي عَاشُورَاءَ، فَقَالُوا هَذَا يَوْمٌ عَظِيمٌ، وَهْوَ يَوْمٌ نَجَّى اللَّهُ فِيهِ مُوسَى، وَأَغْرَقَ آلَ فِرْعَوْنَ، فَصَامَ مُوسَى شُكْرًا لِلَّهِ‏.‏ فَقَالَ ‏ “‏ أَنَا أَوْلَى بِمُوسَى مِنْهُمْ ‏”‏‏.‏ فَصَامَهُ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ‏.‏

Maksudnya: Rasulullah SAW tiba ke Madinah dan baginda dapati golongan Yahudi  berpuasa pada hari Asyura. Kata mereka: Ini adalah hari yang mulia yang mana Allah selamatkan Musa dan kaumnya pada hari ini. Hari ini juga Allah menenggelamkan firaun dan kaumnya. Lalu Musa berpuasa pada hari ini sebagai tanda kesyukuran. Kata Rasulullah SAW : Aku lebih utama ke atas Musa berbanding mereka. Maka baginda pun berpuasa dan memerintahkan untuk berpuasa pada hari tersebut.

Riwayat Al-Bukhari (3397), Muslim (3/149-150)

Kata al-Imam al-Maziri: Perkhabaran golongan Yahudi tidak diterima. Ada kemungkinan bahawa Nabi SAW diwahyukan kepadanya akan kebenaran mereka terhadap apa yang mereka ucapkan atau telah mutawatir perkhabaran tersebut sehingga baginda mengetahuinya. Inilah pendapat yang terpilih di sisi Al-Imam Al-Nawawi Rahimahullah. [Al-Nawawi. Syarah Sahih Muslim,  7/204]

Hari Asyura ini juga merupakan hari Nabi Musa diselamatkan daripada Firaun dan pengikutnya lalu Nabi Musa berpuasa lantas kaumnya (golongan Yahudi) juga berpuasa pada hari ini.

Diampunkan Dosa Setahun Lalu

Awal Muharram

Selain daripada keistimewaan Hari Asyura yang disebutkan di atas, istimewanya ibadah puasa pada hari ini adalah; dosa setahun yang lalu diampunkan.

Dari Abu Qatadah : Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW tentang puasa ‘Asyura, maka kata Baginda SAW :

 أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ 

Maksudnya : Aku berharap ke atas Allah agar ia dapat mengampunkan dosa setahun yang berlalu.

Riwayat Muslim (1162)

Kata Abdul Wahhab bin al-Khaffaf di dalam Kitab Al-Siyam: Telah berkata Qatadah: Dikatakan bahawa puasa ‘Asyura adalah kaffarah (pengampun dosa) bagi lelaki yang mengabaikan zakat hartanya. [Lathaif al Ma’arif. Al-Maktab Al Islami, hlm.101]

Diceritakan dari Fath bin Syakhraf beliau berkata : Aku memecah-mecahkan roti setiap hari untuk memberi makan kepada semut. Apabila tibanya hari ‘Asyura, mereka tidak memakannya.

Diriwayatkan juga oleh Al-Qadir Billah Al-Khalifah Al-Abbasi bahawa perkara tersebut turut berlaku kepada dirinya dan beliau berasa pelik. Lalu beliau bertanya kepada Syeikh Abu Al-Hasan Al-Qazwini lalu Syeikh itu berkata: Hari ‘Asyura ini turut berpuasa padanya semut. Dikatakan, semut juga turut berpuasa pada hari Asyura.[1] [Lathaif al Ma’arif. Al-Maktab Al Islami, hlm.100]

Adapun menjadikan hari ini sebagai hari bersedih sebagaimana yang dilakukan oleh golongan Rafidhah atas kematian Al-Husain Bin ‘Ali RA, maka kata Al-Hafiz Ibn Rajab Al-Hanbali:

Amalan bersedih ini adalah amalan golongan yang tersilap dalam amalannya dan dia menyangka bahawa dia sedang melakukan amalan yang terbaik. Allah dan Rasulnya SAW tidak pernah memerintahkan untuk kita menjadikan hari hari musibah dan kematian para Nabi sebagai hari untuk bersedih. Bagaimana pula bersedih untuk orang yang berada di bawah mereka (dari sudut darjat)?

[Lathaif al Ma’arif. Al-Maktab Al Islami, hlm.103]

Ringkasan berkenaan ayat dan peristiwa di atas:

  1. Puasa Asyura adalah kaffarah atau pengampun dosa bagi lelaki yang mengabaikan zakat hartanya.
  2. Kisah daripada Fath bin Syakhraf beliau memberikan roti kepada semut namun semut itu enggan memakannya pada hari Asyura.
  3. Perkara ini juga berlaku pada Al-Qadir Billah Al-Khalifah Al-Abbasi dan Syeikh Abu Al-Hasan Al-Qazwini memberitahu semut juga berpuasa pada hari Asyura.
  4. Hari ini juga merupakan hari bersedih golongan Rafidhaah atas kematian Al-Husain Bin ‘Ali RA.
  5. Tetapi Al-Hafiz Ibn Rajab Al-Hanbali telah mengatakan amalan bersedih ini adalah amalan golongan yang tersilap dalam amalannya. 
  6. Ini kerana Allah dan Rasulnya SAW tidak pernah menjadikan hari musibah dan kematian para Nabi sebagai hari untuk bersedih apatah lagi bersedih untuk orang yang berasa bawah dari mereka (dari sudut darjat).

Hari Taubat Nabi Adam AS Diterima

Masihkah anda ingat tentang kisah Nabi Adam diturunkan pada bumi dan bertaubat kepada Allah dan taubatnya diterima?

Kedua-dua peristiwa itu berlaku pada hari Asyura. Juga hari pada awal Muharram.

Disebut di dalam kitab Al-Durr Al-Manthur karya Al-Imam Al-Suyuthi sebuah riwayat dari Abdul Wahhab Al-Khaffaf, dari Sa’id, dari Qatadah beliau berkata :

Kami berbincang bahawa hari yang Allah menerima taubat Adam padanya adalah pada hari Asyura. Dan Adam diturunkan ke dunia juga adalah pada hari Asyura.

 [Al-Durr Al-Manthur. Dar al-Fikr, 1/146]

Kisah selanjutnya anda boleh baca di sini.

Di Malaysia pula selain puasa Asyura, bubur Asyura juga terkenal di bibir masyarakat Muslim di sini. Hadir sahaja hari Asyura pada awal Muharram, ramai orang masjid sudah merancang untuk merewang bubur Asyura.

Asal usul nama bubur asyura

Kredit Gambar: Kuali

Dari manakah asal usul bubur Asyura ini datang?

Jawapannya adalah, ketika kapal Nabi Nuh berlabuh di Bukit Juudiy pada hari Asyura, Nabi Nuh AS berkata kepada umatnya:

Himpunkan apa yang kamu miliki daripada makanan yang lebih-lebih”. Maka, dibawalah satu genggam daripada kacang Baqila’ iaitu kacang ful dan satu genggam kacang Adas, Ba’ruz dan hinthoh dan tepung sehingga menjadi tujuh bagai biji-bijian yang dimasak. Maka berkatalah Nabi Nuh A.S: “Masaklah sekeliannya kerana kamu sudah mendapat kesenangan sekarang”.

Jadi dari itulah asalnya nama bubur Asyura wujud.

Sebuah hidangan yang dimasak bersama kacang.

Kelebihan Bulan Muharram

Awal Muharram

Bulan Muharram juga merupakan bulan diciptakan langit dan bumi.

Firman Allah S.W.T:

إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِنْدَ اللَّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ ۚ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنْفُسَكُمْ

Maksudnya: Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah S.W.T adalah sebanyak dua belas bulan sebagaimana yang terdapat di dalam kitabullah (Lauh al-Mahfuz) pada hari diciptakan langit-langit dan juga bumi. Di antaranya (bulan-bulan tersebut) adalah empat bulan haram. Demikian itulah agama yang lurus maka janganlah kalian menzalimi diri kalian di dalam bulan-bulan tersebut.

Surah al-Taubah (36)

Rasulullah S.A.W telah pun memberikan penjelasan berkenaan dengan empat bulan haram tersebut dengan sabda baginda:

السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا مِنْهَا، أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ، ثَلاَثٌ مُتَوَالِيَاتٌ، ذُو الْقَعْدَةِ وَذُو الْحِجَّةِ وَالْمُحَرَّمُ وَرَجَبُ مُضَرَ الَّذِي بَيْنَ جُمَادَى وَشَعْبَانَ

Maksudnya: Dalam setahun itu ada dua belas bulan dan di antaranya adalah empat bulan haram. Tiga bulan yang berturut-turut iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, dan Muharram serta bulan Rejab yang berada di antara Jamadil Akhir dan juga Syaaban.

Riwayat al-Bukhari (184)

Kedua-dua nas ini menyatakan istimewanya bulan Muharram kerana ia termasuk dalam kalangan empat bulan haram untuk berperang.

Bulan-bulan ini sangat dihormati. Segala amalan soleh pada bulan-bulan ini membawa ganjaran pahala yang besar. Selain itu, dosa dan maksiat menjadi lebih besar pada bulan-bulan haram.

Kenapa Perlu Puasa Pada Awal Muharram?

Antara amalan soleh yang digalakkan pada bulan Muharram adalah berpuasa sunat.

Ini adalah daripada riwayat daripada Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

أَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ شَهْرِ رَمَضَانَ شَهْرُ اللَّهِ الْمُحَرَّمُ وَإِنَّ أَفْضَلَ الصَّلاَةِ بَعْدَ الْمَفْرُوضَةِ صَلاَةٌ مِنَ اللَّيْلِ

Maksudnya: Seafdal-afdal puasa setelah bulan Ramadhan adalah berpuasa pada bulan Allah al-Muharram dan sesungguhnya solat yang paling afdal setelah solat fardhu adalah solat malam (Qiyamullail).

Riwayat Abu Daud (2429)

Terdapat juga hadis tentang seorang lelaki yang bertanyakan kepada Rasulullah apakah yang diperintahkan untuk dirinya setelah berpuasa pada bulan Ramadan.

Rasulullah SAW menjawab:

إِنْ كُنْتَ صَائِمًا بَعْدَ شَهْرِ رَمَضَانَ فَصُمِ الْمُحَرَّمَ فَإِنَّهُ شَهْرُ اللَّهِ 

Maksudnya: Sekiranya kamu hendak berpuasa setelah bulan Ramadhan maka berpuasalah kamu pada bulan al-Muharram kerana sesungguhnya ia adalah bulan Allah.

Riwayat al-Tirmizi (741)

Antara kelebihan puasa pada awal Muharram atau pada bulan ini adalah:

  1. Bulan yang disebut sebagai bulan Allah. Seperti yang kita ketahui jika suatu perkara itu disandarkan kepada Allah, maka ia adalah sesuatu yang mulia. Contohnya: Baitullah, Abdullah, Rasulullah dan lain-lain.
  2. Bulan yang afdal berpuasa setelah bulan Ramadan.

Puasa Hari Asyura

Puasa pada sepanjang bulan Muharram adalah digalakkan tetapi ada juga nas khusus yang menceritakan kelebihan berpuasa pada 10 Muharram iaitu hari Asyura.

Antaranya adalah sebuah riwayat daripada Abu Qatadah R.A. bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda:

صِيَامُ يَوْمِ عَاشُورَاءَ إِنِّي أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ

Maksudnya: Berpuasa pada hari Asyura sesungguhnya aku mengharapkan kepada Allah supaya ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya.

Riwayat Ibn Majah (1738)

Begitu juga sebuah riwayat daripada Abdullah Ibn Abbas R.anhuma yang berkata;

قَدِمَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم الْمَدِينَةَ، فَرَأَى الْيَهُودَ تَصُومُ يَوْمَ عَاشُورَاءَ، فَقَالَ ‏”‏ مَا هَذَا ‏”‏‏.‏ قَالُوا هَذَا يَوْمٌ صَالِحٌ، هَذَا يَوْمٌ نَجَّى اللَّهُ بَنِي إِسْرَائِيلَ مِنْ عَدُوِّهِمْ، فَصَامَهُ مُوسَى‏.‏ قَالَ ‏”‏ فَأَنَا أَحَقُّ بِمُوسَى مِنْكُمْ ‏”‏‏.‏ فَصَامَهُ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ

Maksudnya: Rasulullah S.A.W datang ke Madinah dan kemudian baginda melihat golongan Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Lalu baginda berkata: “Apakah ini ?”. Mereka pun menjawab: “Ini adalah hari yang baik. Inilah harinya Allah menyelamatkan Bani Israel daripada musuh mereka maka Musa pun berpuasa pada hari tersebut. Lalu baginda bersabda: “Aku lebih berhak ke atas Musa berbanding kamu”. Maka baginda pun berpuasa pada hari tersebut dan memerintahkan supaya umatnya berpuasa pada hari itu.

Riwayat al-Bukhari (2004)

Cara Mengerjakan Puasa Asyura

Awal Muharram

Sebahagian ulama telah memberikan panduan untuk berpuasa Asyura:

  • Berpuasa sehari sebelumnya atau selepasnya
  • Berpuasa pada 10 Muharram secara tunggal
  • Berpuasa sehari dan selepasnya

Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah di dalam kitabnya Zaad al-Ma’ad (2/72) telah menganjurkan puasa Asyura dengan cara seperti berikut:

  • Berpuasa pada hari sebelumnya dan juga hari selepasnya.
  • Berpuasa pada 9 dan 10 Muharram sahaja.
  • Berpuasa pada 10 Muharram sahaja
Awal Muharram

Bagi mereka yang ingin berpuasa sehari sebelum hari Asyura (pada 9 Muharram), puasa yang akan dilaksanakan adalah puasa Tasu’a.

Nama puasa Tasu’a ini diambil daripada perkataan “tis’a” yang bermaksud sembilan.

Niat Puasa Tasu’a

Niat Puasa Tasu’a

Niat puasa Tasu’a dalam tulisan rumi:

Nawaitu Souma fii Yaumi Tasu’a Sunnatan Lillaahi Ta’ala

Maksudnya:

Sahaja aku berniat puasa sunat hari Tasua esok hari kerana Allah ta’ala.

Niat Puasa Hari Asyura

Niat Puasa Hari Asyura

Niat puasa hari asyura dalam tulisan rumi:

Nawaitu Shauma Ghadin ‘An Ada’i Sunnati Asyura Lillahi Taala

Maksudnya:

Sahaja aku berniat puasa puasa sunat asyura esok hari kerana Allah Taala

Pada hari Asyura umat Islam digalakkan untuk beribadah dengan lebih

Sekian sahaja perkongsian pada kali ini tentang awal Muharram. Semoga bermanfaat kepada anda semua.

______

EZ Qurban

Belum daftar korban?

Jangan lepaskan peluang untuk kita syukuri nikmat Allah yang banyak dengan ibadah korban tahun ini!

Bermula hanya RM350, anda bukan sahaja akan laksanakan tuntutan ibadah korban bersama pelaksana paling dipercayai di Malaysia, malah dagingnya akan diagih pula untuk dimanfaatkan masyarakat Muslim yang memerlukan di 41 buah negara!

Klik butang dibawah untuk maklumat lanjut dan pendaftaran.

BEBAS TOL : 1-800-885-885

FB: https://www.facebook.com/ezqurban

IG: https://www.instagram.com/ezqurban/

Whatsapp: https://kliksini.my/a6Yes

*Tarikh tutup adalah berbeza mengikut jenis korban dan tertakluk kepada perubahan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

ARTIKEL BERKAITAN