Hari Arafah merupakan perayaan Islam yang berlaku pada 9 Zulhijjah dalam kalendar Islam. Hari Arafah juga adalah hari kedua dalam ibadah haji bagi umat Islam yang mampu melaksanakannya.
Dipanggil nama sedemikian kerana pada hari ini para jemaah haji akan ke Gunung Arafah dari Mina serta Padang Arafah.
Bilakah Tarikh Hari Arafah 2022?
Mengikut kalendar masihi, rakyat Malaysia akan menyambutnya pada 9 Julai 2022 (akan dikemaskini dari semasa ke semasa).
Peristiwa Hari Arafah
Pada hari ini, umat Islam yang mengerjakan haji akan berwukuf di Padang Arafah yang menjadi antara kemuncak ibadah.
Kepada yang tidak melakukan haji pula, mereka disunatkan untuk berpuasa pada hari ini.
Wukuf yang membawa maksud berada di Arafah walau satu saat sekalipun walaupun dalam sebarang keadaan adalah salah satu rukun haji.
Umat Islam yang melaksanakan haji berwukuf di padang Arafah bagi memperingati peristiwa di mana Nabi Adam AS dan Hawa telah diturunkan dari syurga ke bumi kerana terpedaya dengan tipu daya iblis sekaligus mengingkari perintah Allah.
Dari berdua di syurga, mereka telah dipisahkan di bumi dan sehinggalah 40 tahun baru mereka bertemu kembali di Padang Arafah atau lebih spesifik di Jabal ar Rahmah.
Di sinilah mereka memohon keampunan daripada Allah SWT kerana telah mengingkari perintahNya.
Penyesalan dan taubat mereka diterima Allah SWT di sini dan itulah simbolik wukuf di Padang Arafah.
Umat Islam yang berwukuf di sini adalah tempat untuk menyesali dosa yang pernah dilakukan dan juga tempat untuk memohon kemaafan daripada Allah.
Syarat berwukuf
- Telah berihram dengan niat haji
- Seorang ahli ibadat yang waras (Tidak gila/Tidak mabuk/tidak hilang akal)
- Berada di Arafah walau seketika di dalam waktu wukuf
Apakah itu Puasa Hari Arafah?
Puasa adalah ibadah sunnah yang boleh dilaksanakan oleh umat Islam sekiranya tidak melakukan ibadah haji.
Bagi mereka yang tidak berkesempatan untuk melaksanakan haji, tidaklah sia-sia ibadah mereka kerana dengan berpuasa mereka dapat memanfaatkan hari tersebut dan merebut fadilat yang dijanjikan pada hari ini.
Daripada Abu Qatadah al-Anshari r.a.; Rasulullah ketika ditanya tentang puasa hari Arafah, Baginda bersabda:
“Ia menebus dosa setahun yang telah lalu dan setahun yang akan datang.”
Hadis Riwayat Imam Muslim
Rasulullah SAW juga bersabda:
“Orang yang berpuasa pada Hari Arafah (9 Zulhijjah), Allah akan menuliskan baginya puasa 60 tahun dan Allah menuliskannya sebagai orang yang taat.”
Rasulullah SAW. bersabda lagi:
“Tiada hari yang paling ramai Allah SWT melepaskan hamba-Nya dari api neraka melainkan pada Hari Arafah. Dan sesungguhnya Allah Azzawajalla menghampiri (hamba-hamba-Nya) dan berbangga dengan mereka di kalangan para malaikat serta bertanya; Apa yang dikehendaki oleh mereka?”
Manakala bagi mereka yang melaksanakan ibadah haji, mereka disunatkan untuk tidak berpuasa dan menyalahi perkara utama jika mereka berpuasa juga pada hari ini.
Dari Ummu al-Fadhl binti al-Harith:
“Ramai di kalangan sahabat Rasulullah SAW yang ragu-ragu tentang berpuasa pada hari Arafah sedangkan kami berada di sana bersama Rasulullah SAW, lalu aku membawa kepada Baginda satu bekas yang berisi susu sewaktu Baginda berada di Arafah lantas Baginda meminumnya.”
Hadis Riwayat Imam Muslim
Selain itu ada juga hadis yang diriwayatkan dari Abu Hurairah ra:
“Sesungguhnya Rasulullah SAW melarang berpuasa pada Hari Arafah bagi mereka yang berada di Arafah.”
Hadis Riwayat Abu Dawud dan an-Nasa’ie; at-Thabrani dari Aisyah r.ha.
Kelebihan Hari Arafah
- Rukun daripada haji.
Daripada Abdulrahman bin Ya’mur, bahawa Nabi SAW bersabda:
الحَجُّ عَرَفَةُ
Maksudnya: “Haji adalah Arafah”
Riwayat al-Tirmizi (814)
- Hari di mana agama ini telah sempurna
Daripada Umar bin al-Khattab RA bahawa seorang lelaki telah bertanya kepadanya:
يَا أَمِيرَ المُؤْمِنِينَ، آيَةٌ فِي كِتَابِكُمْ تَقْرَءُونَهَا، لَوْ عَلَيْنَا مَعْشَرَ اليَهُودِ نَزَلَتْ، لاَتَّخَذْنَا ذَلِكَ اليَوْمَ عِيدًا. قَالَ: أَيُّ آيَةٍ؟ قَالَ: “اليَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الإِسْلاَمَ دِينًا” [المائدة: 3] قَالَ عُمَرُ: قَدْ عَرَفْنَا ذَلِكَ اليَوْمَ، وَالمَكَانَ الَّذِي نَزَلَتْ فِيهِ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَهُوَ قَائِمٌ بِعَرَفَةَ يَوْمَ جُمُعَةٍ
Maksudnya: “Wahai Amir al-Mukminin, satu ayat di dalam kitab kamu (al-Quran) yang kamu membacanya. Jika ia ke atas kami sekalian bangsa Yahudi maka kami akan mengambil hari tersebut sebagai perayaan. Umar bertanya: Apakah ayat itu? Dia berkata: “Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu”. Umar berkata: Kami telah ketahui hari tersebut dan tempat turun ayat tersebut ke atas Nabi SAW ketika baginda SAW berdiri di Arafah pada hari Jumaat”.
Riwayat al-Bukhari (43) dan Muslim (5334)
- Hari raya dan sambutan buat umat Islam
Daripada Uqbah bin Amir RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
يَوْمُ عَرَفَةَ، وَيَوْمُ النَّحْرِ، وَأَيَّامُ التَّشْرِيقِ عِيدُنَا أَهْلَ الْإِسْلَامِ، وَهِيَ أَيَّامُ أَكْلٍ وَشُرْبٍ
Maksudnya: “Hari Arafah, hari Korban serta hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah) adalah hari raya kita orang Islam dan ia adalah hari makan dan minum”.
Riwayat Abu Daud (20660), Tirmizi (704) dan al-Nasa’ie (2954)
- Hari Penyaksian
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
اليَوْمُ المَوْعُودُ يَوْمُ القِيَامَةِ، وَاليَوْمُ المَشْهُودُ يَوْمُ عَرَفَةَ، وَالشَّاهِدُ يَوْمُ الجُمُعَةِ
Maksudnya: “Hari yang dijanjikan adalah hari Kiamat, hari Mayshud adalah hari Arafah serta al-Syahid adalah hari Jumaat”.
Riwayat al-Tirmizi (3262)
- Hari yang baik untuk berdoa
Daripada Abdullah bin ‘Amr, bahawa Nabi SAW bersabda:
خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ
Maksudnya: “Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah”.
Riwayat al-Tirmizi (3509)
- Puasa hari ini diampunkan dosa setahun sebelum dan selepas
Daripada Abi Qatadah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda apabila ditanya tentang puasa pada hari Arafah:
يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ وَالْبَاقِيَةَ
Maksudnya: “Puasa pada hari tersebut akan menghapuskan dosa setahun yang lalu dan akan datang”.
Riwayat Muslim (1977)
- Hari keampunan dan pelepasan dari api neraka
Daripada Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللهُ فِيهِ عَبْدًا مِنَ النَّارِ، مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ
Maksudnya: “Tidak ada satu hari yang lebih banyak dibebaskan hamba-Nya daripada api neraka melainkan pada hari Arafah”.
Riwayat Muslim (2402)
Amalan Sunnah Pada Hari Arafah
- Berpuasa sunat sekiranya tidak mengerjakan haji
- Mendirikan solat jemaah
- Melazimi doa dan zikir
- Sedekah
Buat umat Islam yang bakal berwukuf pada hari berikut, semoga ibadah haji anda akan diterima Allah. Manakala yang tidak berkesempatan untuk melaksanakannya pula, mari capai fadilat lain dengan berpuasa dan beribadah sunat yang lain.
Semoga taubat dan doa diterima Allah SWT.
______
Belum daftar korban?
Jangan lepaskan peluang untuk kita syukuri nikmat Allah yang banyak dengan ibadah korban tahun ini!
Bermula hanya RM350, anda bukan sahaja akan laksanakan tuntutan ibadah korban bersama pelaksana paling dipercayai di Malaysia, malah dagingnya akan diagih pula untuk dimanfaatkan masyarakat Muslim yang memerlukan di 41 buah negara!
Klik butang dibawah untuk maklumat lanjut dan pendaftaran.
BEBAS TOL : 1-800-885-885
FB: https://www.facebook.com/ezqurban
IG: https://www.instagram.com/ezqurban/
Whatsapp: https://kliksini.my/a6Yes
*Tarikh tutup adalah berbeza mengikut jenis korban dan tertakluk kepada perubahan.