“Bilakah Waktu Korban Yang Terbaik?”

“Elok saya korban selepas takbir raya atau selepas solat zohor atau esok sahaja? Bilakah waktu korban yang sesuai untuk saya?”

Itu antara kekeliruan bagi orang yang ingin berkorban pada Aidil Adha. 

Jangan risau, kami telah dapatkan jawapannya daripada laman web rasmi Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan kami huraikan dengan lebih mudah untuk anda.

Firman Allah SWT Tentang Korban

Allah SWT telah mengingatkan kita tentang keutamaan untuk berkorban di dalam ayat kedua surah al-Kauthar:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَٱنۡحَرۡ 

Maksudnya: Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). 

Surah al-Kauthar: 2

Tidak dilupakan juga hadis ini:

Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah RAnha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ، إِنَّهُ لَيَأْتِي يَوْمَ القِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلَافِهَا، وَأَنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنَ اللَّهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنَ الأَرْضِ، فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا

Maksudnya: Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak adam pada hari al-Nahr (Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada redha Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban).

Riwayat al-Tirmidzi: 1493

Adakah semua orang wajib untuk berkorban?

Waktu Korban


Jawapannya adalah tidak. Ada beberapa aspek yang perlu diambil kira sebelum seseorang itu boleh atau tidak untuk berkorban.

Aspek-aspek tersebut adalah:

  • Beragama Islam
  • Baligh
  • Berakal
  • Berkemampuan
  • Merdeka

Aspek ini boleh dilihat daripada Kitab Mughni al-Muhtaj daripada Imam al-Khatib al-Syarbini:

وَالْمُخَاطَبُ بِهَا الْمُسْلِمُ الْحُرُّ الْبَالِغُ الْعَاقِلُ الْمُسْتَطِيعُ

Maksudnya: Golongan yang ditujukan perintah untuk melaksanakan korban itu ialah orang Islam, merdeka, baligh, berakal dan berkemampuan.

 Rujuk Mughni al-Muhtaj, 6:123

Waktu Korban Yang Terbaik

Waktu Korban

Di dalam al-Jami’ li Ahkam al-Quran, al-Imam al-Qurtubi berkata: 

“Dimulakan dengan solat (Solat Hari Raya Adha) sebelum melakukan ibadat korban”.

Penulis kepada kitab al-Fiqh al-Manhaji pula telah menukilkan: 

“Waktunya bermula selepas terbit matahari pada Hari Raya Haji (Hari Raya Korban) iaitu sekadar sempat ditunaikan dua rakaat sembahyang dan dua khutbah. Kemudian berterusan waktunya hingga terbenam matahari pada akhir hari-hari Tasyrik iaitu 11,12, dan 13 Zulhijah. Waktu afdhal untuk menyembelih ialah selepas selesai solat sunat hari raya”.

Ada pula hadis yang lain Rasulullah SAW telah bersabda:

إِنَّ أَوَّلَ مَا نَبْدَأُ بِهِ فِي يَوْمِنَا هَذَا نُصَلِّي ثُمَّ نَرْجِعُ فَنَنْحَرُ فَمَنْ فَعَلَ ذَلِكَ فَقَدْ أَصَابَ سُنَّتَنَا وَمَنْ ذَبَحَ فَإِنَّمَا هُوَ لَحْمٌ قَدَّمَهُ لأَهْلِهِ لَيْسَ مِنَ النُّسُكِ فِي شَىْءٍ

Maksudnya: “Perkara pertama yang kami mulakan pada hari ini, ( hari raya ) ialah kami bersembahyang. Kemudian kami pulang dan menyembelih korban. Oleh itu, sesiapa yang melakukan perkara tersebut maka dia telah melaksanakan sunah kami. Dan sesiapa telah menyembelih sebelum itu, maka ia adalah daging untuk ahli keluarganya, bukan untuk ibadat korban sedikit pun”.

Riwayat al-Bukhari: 965 dan Muslim: 1961

Nota: “Sesiapa yang telah menyembelih sebelum itu” merujuk kepada sebelum masuk waktu sembahyang hari raya dan sebelum berlalu waktu sekadar yang sempat didirikan waktu sembahyang.

Waktu Korban

Ringkasan daripada kitab al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e karangan Prof. Dr. Muhammad al-Zuhayli Hafizahullah pada jilid ke-2, halaman 483-484

  1. Waktu sebelihan bermula selepas timbulnya matahari pada hari sembelihan iaitu 10 Zulhijjah. Waktu matahari timbul itu boleh dikira selepas selesainya solat dua rakaat (solat sunat hari raya) dan juga dua khutbah yang tidak terlampau panjang.
  2. Sekiranya ada yang melakukan sembelihan sebelum waktu tersebut, sembelihan itu tidak dikira sebagai korban. Ia cuma dikira sebagai sedekah sahaja (sembelihan untuk mendapatkan daging sahaja)
  3. Waktu sembelihan itu bersambung sehinggalah berakhirnya hari Tasyrik dan ini menjadikan waktu sembelihan korban itu selama 4 hari. (10-13 Zulhijjah)
  4. Sembelihan yang berlaku selepas berakhirnya hari Tasyrik tidak dikira sebagai sembelihan korban. Sebaliknya dikira sebagai sembelihan hanya untuk mendapatkan daging sahaja.
  5. Sekiranya orang itu bernazar tetapi sembelihan korban nazar itu berlaku pada selepas hari Tasyrik, sembelihannya dikira sebagai qadha dan qadha tidak gugur dengan berlalunya waktu.
Waktu Korban

Selain daripada waktu korban para peserta juga perlu cakna tentang larangan berkorban.

Hadis daripada Ummu Salamah R.anha bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ كَانَ لَهُ ذِبْحٌ يَذْبَحُهُ فَإِذَا أُهِلَّ هِلَالُ ذِي الْحِجَّةِ، فَلَا يَأْخُذَنَّ مِنْ شَعْرِهِ، وَلَا مِنْ أَظْفَارِهِ شَيْئًا حَتَّى يُضَحِّيَ

Maksudnya: Barangsiapa yang mempunyai binatang korban untuk disembelih, maka apabila terlihatnya anak bulan Zulhijjah, janganlah dia mengambil satu apa pun (yakni memotong) daripada rambutnya, mahupun daripada kukunya sehingga dia selesai berkorban.

Hadis riwayat Imam Muslim: 1977

Disunatkan baginya untuk:

  1. Tidak memotong rambut
  2. Tidak mencabut bulu-bulu tubuh badan
  3. Tidak memotong kuku

Dari 1 Zulhijjah sehinggalah selesai ibadah korban tersebut, barulah mereka boleh melakukan tiga perkara yang disebut di atas.

Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Sekian sahaja perkongsian tentang waktu korban. Semoga pengisian kali ini memberikan anda ilham untuk memilih waktu terbaik dan semoga Allah menerima korban kita semua, amin.

______

EZ Qurban

Belum daftar korban?

Jangan lepaskan peluang untuk kita syukuri nikmat Allah yang banyak dengan ibadah korban tahun ini!

Bermula hanya RM350, anda bukan sahaja akan laksanakan tuntutan ibadah korban bersama pelaksana paling dipercayai di Malaysia, malah dagingnya akan diagih pula untuk dimanfaatkan masyarakat Muslim yang memerlukan di 41 buah negara!

Klik butang dibawah untuk maklumat lanjut dan pendaftaran.

BEBAS TOL : 1-800-885-885

FB: https://www.facebook.com/ezqurban

IG: https://www.instagram.com/ezqurban/

Whatsapp: https://kliksini.my/a6Yes

*Tarikh tutup adalah berbeza mengikut jenis korban dan tertakluk kepada perubahan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

ARTIKEL BERKAITAN