Susu ibu adalah makanan yang ideal untuk bayi yang baru lahir. Allah SWT juga telah menciptakan kolostrum iaitu sejenis susu yang sangat berkhasiat untuk bayi. Untuk para ibu atau bapa yang mencari sunnah penyusuan bayi, anda boleh rujuk artikel ini.
Sebelum topik sunnah penyusuan ini dikupas dengan lebih mendalam, adalah elok untuk kita melihat rujukan firman Allah tentang penyusuan bayi.
Sebenarnya, ada hal-hal berkaitan penyusuan telah pun diulas oleh para Ulama yang terdahulu.
Firman Allah SWT:
وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلاَدَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ لِمَنْ أَرَادَ أَن يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ
Maksudnya: Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu.
(Surah al-Baqarah, 2:233)
Baru-baru ini banyak dibahaskan tentang upah menyusu di internet. Rujukan daripada Mufti Wilayah Persekutuan juga ada mengulas tentang perkara ini.
Firman Allah Taala:
أَسْكِنُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ سَكَنتُم مِّن وُجْدِكُمْ وَلَا تُضَارُّوهُنَّ لِتُضَيِّقُوا عَلَيْهِنَّ ۚ وَإِن كُنَّ أُولَاتِ حَمْلٍ فَأَنفِقُوا عَلَيْهِنَّ حَتَّىٰ يَضَعْنَ حَمْلَهُنَّ ۚ فَإِنْ أَرْضَعْنَ لَكُمْ فَآتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ ۖ وَأْتَمِرُوا بَيْنَكُم بِمَعْرُوفٍ ۖ وَإِن تَعَاسَرْتُمْ فَسَتُرْضِعُ لَهُ أُخْرَىٰ
Maksudnya: Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani idahnya) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu; dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka (di tempat tinggal itu) dengan tujuan hendak menyusahkan kedudukan mereka (supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu). Dan jika mereka berkeadaan sedang mengandung, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya sehingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya; kemudian jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya; dan berundinglah di antara kamu (dalam hal menyusunya) dengan cara yang baik. Dan (sebaliknya) jika kamu (dari kedua pihak) mengalami kesulitan, maka bolehlah perempuan lain menyusukannya.
(Surah al-Talaq, 65:6)
Adakah Ibu Wajib Untuk Menyusu Anak Selama 2 Tahun?
Daripada ayat di atas, Mufti Wilayah Persekutuan telah merumuskan penyusuan anak sehingga 2 tahun adalah hak bagi ibu dan bukan kewajipannya.
Adakah Ada Upah Menyusu?
Mengikut Mufti Wilayah Persekutuan lagi, si bapa wajib untuk memberikan upah kepada isterinya atau bekas isteri yang melahirkan anaknya bagi penyusuan tersebut jika dia meminta.
Ibu pula wajib untuk menyusukan anak dengan al-liba’, iaitu susu awal kelahiran yang juga dipanggil kolostrum.
Ini kerana susu itu memberikan kekuatan kepada perkembangan bayi dan menguatkan bayi. Baca lebih lanjut di sini.
Mufti Wilayah Persekutuan telah merumuskan harus untuk ibu bapa meneruskan penyusuan badan kepada kanak-kanak yang berumur lebih 2 tahun dengan syarat:
- Tidak memudaratkan anak
- Tidak khususkan susu badan sahaja tetapi tambah dengan makanan yang berkhasiat untuk tumbesaran yang elok
- Dilakukan atas keperluan, rujuk kepada pakar pediatrik untuk kesan kesihatan kepada ibu dan bayi selepas 2 tahun
Adab & Sunnah Ketika Menyusukan Anak
Sebenarnya tiada garis panduan khas tentang sunnah penyusuan anak. Tetapi sebagai umat Islam, segala apa yang dilakukan dengan nama Allah boleh menjadi pahala.
Semudah membaca bismillah ketika melakukan sesuatu, anda akan mendapat pahala. Oleh itu kami senaraikan perkara-perkara yang anda boleh lakukan ketika menyusu.
Sunnah ini termasuk di dalam topik adab kerana dengan mengikuti adab ini, insya-Allah ada ganjaran pahala kerana masih menjaga nama baik Islam walaupun sedang menyusu.
- Cari Tempat Yang Sesuai
Tidak semua tempat sesuai untuk menyusu. Anda perlu mengambil kira keselesaan semua pihak. Ibu yang menyusu, keadaan bayi dan juga pandangan sekeliling.
Namun, penyusuan tidaklah perlu dilihat sebagai aib kerana bayi cuma memerlukan keperluannya untuk hidup daripada susu tersebut. Jika ibu terpaksa menyusu di dalam suasana yang ramai awam, mereka digalakkan menggunakan nursing cover.
Dengan ini ibu akan lebih mudah untuk bergerak untuk menyusu sekaligus memberikan keselesaan kepada bayi.
- Pakai Pakaian Yang Sesuai
Tidak semua pakaian yang menutup aurat itu sesuai untuk ibu menyusu. Sebaiknya pilihlah baju yang mempunyai zip di belah hadapan ataupun ‘breastfeed friendly’. Jika tidak, pastikan anda mempunyai akses yang pantas untuk menyusu di kawasan yang tertutup.
Ada kalanya bayi merengek dan juga bergerak ketika menyesuaikan badan untuk menyusu. Pakai pakaian yang sesuai akan memudahkan para ibu untuk menyusu dalam keadaan yang selesa dan paling penting masih menutup aurat walau betapa lasaknya bayi sedang menyusu.
- Menjaga Aurat Semasa Menyusu
Di mana sahaja anda berada, jagalah aurat anda sewaktu menyusu. Jika rumah sedang dilawati orang dan anda tidak selesa dengan para tetamu anda boleh meminta mereka untuk keluar atau anda sendiri beralih tempat supaya mereka tidak melihat anda sewaktu menyusu.
Menyusu juga memerlukan para ibu untuk ada di dalam keadaan tenang. Tenang ketika menyusu juga boleh mengelakkan ibu daripada malu atau stress sekaligus membantutkan pengeluaran susu.
- Membaca Bismillah
Jika anda ingin memulakan tabiat membaca bismillah pada anak, boleh mula dari anak itu bayi. Setiap kali disua untuk menyusu, bacakan bismillah bagi pihak anak tersebut.
Sambil menyusu, anda juga boleh membacakan doa ini
- Memulakan Susuan Sebelah Kanan
Sedangkan kita melangkah masuk rumah pun dianjurkan menggunakan kaki kanan, tidak salah untuk menyusu dengan belah kanan dahulu. Semoga sedikit demi sedikit sunnah untuk dahulukan anggota badan belah kanan dalam melakukan sesuatu menjadi kebiasaan kepada kita sekeluarga.
- Berzikir Semasa Menyusu
Banyakkan berzikir ketika menyusu. Di samping dijadikan doa, zikir juga boleh menjadi penenang hati kepada anak dan juga ibu yang sedang menyusu.
Makanan Yang Boleh Menambah Susu Badan
Ibu-ibu yang menyusu ataupun sedang menanti kelahiran anak, boleh mula menambah khasiat dalam diet mereka untuk susu yang lebih banyak.
Antara makanan tersebut adalah:
- Bijirin penuh
- Sayur hijau gelap
- Bawang putih
- Sesame seeds
- Kacang almond
- Susu oat
- Air
Apa yang perlu dilakukan oleh ibu yang menyusu?
Selain daripada sunnah dan adab di atas, ibu yang sedang menyusu juga boleh lakukan beberapa perkara untuk kekal positif sewaktu menyusu.
Ini adalah beberapa perkara yang perlu diingati supaya mental tetap kuat untuk menyusu.
- Ibu tidak keseorangan ketika menyusu
- Ibu tidak kebal atau kalis dari anxiety atau depression
- Ada banyak sumber yang boleh membantu ibu menyusu
- Ibu yang sedang menyusu sudah melakukan yang terbaik dan jika tiada susu pun tidak mengapa, boleh sahaja ditukarkan kepada susu formula
- Awal penyusuan mungkin sukar tetapi, ia akan menjadi semakin mudah
- Jika ibu menghadapi masalah untuk menyusu, tidak mengapa untuk meminta bantuan
- Normal untuk para ibu menjadi penat
Semoga perkongsian ini bermanfaat.
Artikel Berkaitan: Aqiqah Mekah VS Tempat Sendiri: Mana Yang Lebih Afdhal?, Sejarah Pensyariatan Ibadah Aqiqah, 7 Persoalan Yang Sering Ditanya Mengenai Akikah, Majlis Aqiqah Sederhana Yang Mengikut Sunnah, Syarat Aqiqah Anak Lelaki dan Perempuan, Adakah Sah Cukur Rambut Bayi Sebelum Aqiqah?, Aqiqah Ramadan, Ruang Ibadah Untuk Semua, Hukum Korban Dan Akikah Pada Sembelihan Yang Sama, Selawat, Tahnik Dan Cukur Rambut Bayi – Apa Yang Tidak Boleh Dilakukan, Hukum Aqiqah Di Mekah Atau Di Luar Negara
______
Belum daftar korban?
Jangan lepaskan peluang untuk kita syukuri nikmat Allah yang banyak dengan ibadah korban tahun ini!
Bermula hanya RM350, anda bukan sahaja akan laksanakan tuntutan ibadah korban bersama pelaksana paling dipercayai di Malaysia, malah dagingnya akan diagih pula untuk dimanfaatkan masyarakat Muslim yang memerlukan di 41 buah negara!
Klik butang dibawah untuk maklumat lanjut dan pendaftaran.
BEBAS TOL : 1-800-885-885
FB: https://www.facebook.com/ezqurban
IG: https://www.instagram.com/ezqurban/
Whatsapp: https://kliksini.my/a6Yes
*Tarikh tutup adalah berbeza mengikut jenis korban dan tertakluk kepada perubahan.
very informational article thank you jaza ka allah